GEORGE TOWN: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Menteri Luar China Wang Yi di sini pada Jumaat, dan kedua-dua pihak berikrar untuk mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang, lapor Xinhua.
Mengimbau kejayaan lawatannya ke China pada Mac tahun ini, Anwar berkata bahawa China adalah rakan baik Malaysia yang boleh dipercayai dan kedua-dua negara mempunyai hubungan istimewa dan mesra.
Perdana menteri berkata kedua-dua pihak giat melaksanakan konsensus yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara dan mencapai kemajuan ketara dalam kerjasama ekonomi, perdagangan, pelaburan, kebudayaan dan pelancongan.
Syarikat-syarikat China dialu-alukan untuk mengembangkan pelaburan di Malaysia, dan Malaysia bersedia memperkukuhkan kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang untuk mencapai manfaat bersama, tambah Anwar.
Sementara itu, Wang berkata bahawa pemimpin kedua-dua negara telah menjalinkan persahabatan yang kukuh, dan hala tuju bersama membina komuniti China-Malaysia demi masa depan bersama.
China bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk mengekalkan momentum pembangunan yang kukuh dalam hubungan dua hala, yang mendatangkan lebih banyak faedah kepada kedua-dua rakyat, serta menyumbang kepada pembangunan dan pemulihan serantau, kata Wang.
Menyedari bahawa inisiatif Jalur dan Laluan, seperti Laluan Rel Pantai Timur dan “Dua Negara, Taman Berkembar,“ telah memberi kesan ekonomi dan sosial yang baik serta menunjukkan prospek luas untuk kerjasama praktikal, Wang berkata bahawa China bersedia untuk berkongsi dengan Malaysia peluang pasaran mega dan mengembangkan bidang kerjasama untuk mencapai manfaat bersama. -Bernama