PUTRAJAYA: Malaysia komited untuk melaksanakan aspek-aspek yang digariskan dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang untuk keluar dari kedudukan Tahap 2 (senarai amatan), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar).
Saifuddin Nasution berkata kejayaan Malaysia berada di kedudukan Tahap 2 ketika ini, memberi petunjuk bahawa beberapa aspek yang digariskan JNAS sebelum ini telah dipatuhi.
“Yang nak dilihat kesungguhan kita mengesan, tangkap, siasat, dakwa dan sabit (pihak yang terlibat dalam aktiviti pemerdagangan dan amalan buruh paksa).
Kalau kita lakukan usaha berterusan ini, saya zahirkan keyakinan, kita bergerak di atas landasan yang betul. Pemerhatian dalam laporan antarabangsa ini, dia sangat terperinci.
“Sasaran kita keluar dari senarai amatan itu, ideanya ialah sampai Tahap 1,“ katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia 2023, di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata siasatan polis mengenai isu penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Sik, Kedah membuktikan kerajaan serius dalam menangani isu pemerdangan orang dan amalan buruh paksa dalam negara.
Beliau berkata seramai 52 suspek telah ditahan dan siasatan lanjut mengesahkan terdapatnya amalan buruh paksa dalam kes itu.
“Sebahagian yang ditahan itu, ada warga asing antaranya dari Nepal dan Myanmar, bila disiasat polis ternyata mereka bekerja tanpa upah. Itu antara amalan buruh paksa, disuruh korek lubang, gali, keluarkan bijih itu kemudian tidak dibayar upah.
Ada sekelompok pekerja yang dibawa masuk melalui pelbagai pintu sempadan negara secara tidak sah tanpa dokumen. Bila tanpa dokumen boleh suruh buat apa sahaja. Mereka dijanjikan upah RM80 hingga RM100 sehari (tetapi) tidak dibayar,“ katanya.
Tanpa menyatakan bilangan yang terlibat, beliau berkata ada suspek yang ditahan sedang disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA.
Februari lepas, media melaporkan seramai 52 lelaki ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti penerokaan REE secara haram di Hutan Simpan Bukit Enggang.
Pada majlis itu, Saifuddin Nasution melancarkan tiga inisiatif iaitu Bantuan Kewangan berjumlah RM850,000 kepada dua rumah perlindungan yang diuruskan oleh badan bukan kerajaan iaitu Global Shephard Bhd dan Tenaganita Sdn Bhd.
Turut dilancarkan ialah ikrar oleh wakil majikan dalam menangani pemerdagangan orang dan buruh paksa serta buku panduan atau CARE-Kit (Bantuan Daftar Masuk, Sumber dan Kit Pemerkasaan) dalam lapan bahasa yang akan menjadi rujukan untuk mangsa pemerdagangan orang yang ditempatkan di rumah perlindungan. -Bernama