MELAKA: Seorang lelaki warga Nigeria dan rakan wanita senegaranya dijatuhi hukuman penjara enam tahun setengah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana memiliki dadah tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman itu terhadap Kebechi Thomas Nwankwu, 38, beserta 10 sebatan dan Happy Akhidenor Aituaje,33, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan memiliki dadah jenis kanabis seberat 580.98 gram.

Mereka didapati melakukan kesalahan itu di sebuah unit rumah di Pangsapuri Bukit Beruang Bestari, Jalan Bukit Beruang, Taman Bukit Beruang Bestari dalam daerah Melaka Tengah pada 24 Mac 2022, sekitar 5.30 pagi.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan dikenakan sebatan tidak kurang 10 sebatan.

Peguam Datin Kharen Jit Kaur yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman minimum ke atas anak guamnya kerana mereka mempunyai keluarga di Nigeria.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abd Rahman Sidik memohon hukuman berat dikenakan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi tertuduh memandangkan jenayah berkaitan dadah adalah serius.

Beliau juga mahu hukuman itu dijadikan pengajaran bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi warga asing agar tidak melakukan kesalahan sama.