KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti perkaitan antara pengendali perniagaan perkhidmatan kiriman wang secara haram di negara ini, dengan jenayah berat yang lain seperti jenayah terancang termasuklah perjudian haram dan penipuan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (gambar) berkata pihaknya dalam proses menganalisis urus niaga tunai serta transaksi kewangan mencurigakan, melibatkan 39 akaun bank dengan jumlah dana RM47 juta dari tahun 2021 sehingga 2023.

“Ini ekoran peranan pengendali tersebut mungkin didorong sebagai pemudah cara dalam membantu aktiviti haram lain melalui pergerakan dana,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak (IPK) di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata pemindahan wang secara haram ke luar negara, telah meningkatkan saiz ekonomi bayangan, yang dianggarkan sekitar 18 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar atau RM275 billion.

“Antara aktiviti jenayah kewangan yang dikesan menyumbang kepada ekonomi bayangan ialah kesalahan tanda dagangan, pemindahan dana ke luar negara menerusi saluran tidak sah dan gejala rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, Ayob Khan turut memaklumkan, premis bagi menjalankan kegiataan perniagaan kiriman wang secara haram di Sarawak telah dikesan berselindung di sebalik perniagaan lain, seperti kedai runcit dan telekomunikasi demi mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata PDRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), telah mengadakan operasi khas ke atas pengendali perniagaan tanpa lesen itu semalam, dengan sejumlah lapan premis di beberapa kawasan di Sarawak diserbu dan 17 warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

“Aktiviti kiriman wang ini melibatkan destinasi ke Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Filipina... jadi melibatkan pekerja asing, mungkin sebab mereka tiada dokumen dan tak boleh buka akaun bank. Namun, itu bukan alasan untuk mereka menggunakan perkhidmatan penghantaran wang tanpa lesen,” katanya dan menambah premis sedemikian beroperasi di kawasan yang mempunyai jumlah pekerja asing yang tinggi.

Ayob Khan berkata kesemua premis berkenaan diserbu secara serentak, melibatkan masing-masing dua premis di Sibu, Selangau dan Batu Niah, serta masing-masing satu premis di Mukah dan Bekenu, dengan keseluruhan rampasan wang tunai berjumlah kira-kira RM1 juta serta 1.1 juta rupiah (RM332).

Ayob Khan berkata pengendali perniagaan itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 dan berkemungkinan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Kita akan adakan lebih banyak serbuan selepas ini. Mungkin juga ada premis (haram ini) ada mempunyai kaitan dengan sindiket dan ada juga yang menggunakan konsep sama dengan hawala (penghantaran wang ‘bawah tanah’).

“Tindakan ini adalah suatu amaran kepada mana-mana pengendali perniagaan perkhidmatan kewangan secara haram yang lain, untuk menghentikan sebarang operasi yang tidak berlesen,” katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image