DUNGUN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mampu memberi limpahan rezeki buat penduduk sekitar terutamanya di Terengganu, yang bakal mempunyai enam stesen dengan dua daripadanya untuk tujuan penumpang dan kargo.

Projek tersebut mencetuskan perbalahan mengenai kos pembinaannya pada peringkat awal, namun Kerajaan Perpaduan berjaya menjimatkan kos sebanyak RM11 bilion, melalui usaha perundingan yang berkesan bagi penjajaran semula ECRL, dengan kos keseluruhan sebanyak RM50.27 bilion.

Peniaga Nang Noraziah Kamarudin, 42, berkata sektor ekopelancongan di negeri itu, pasti mendapat limpahan berikutan lebih banyak orang luar akan datang ke Terengganu untuk melancong, kerana mempunyai kemudahan pengangkutan yang efisien.

“Secara tidak langsung, ramai pelancong akan datang ke Terengganu dengan menaiki ECRL, sekali gus dapat merancakkan lagi ekonomi rakyat tempatan, kerana mereka pasti akan berbelanja apabila datang ke sini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Rosli Abd Manan, 38, yang juga seorang peniaga, senada dengan Nang Noraziah apabila menyatakan keyakinan bahawa setelah siap projek itu nanti, banyak manfaat yang akan diperoleh masyarakat tempatan antaranya menjadi mod pangangkutan yang menjimatkan masa.

“Penduduk di sini pun boleh menggunakan ECRL ini untuk bergerak. Tidak perlu lagi menggunakan kereta atau pengangkutan awam lain, yang memakan masa lebih lama dan perjalanan yang jauh serta meletihkan,” katanya.

Enam stesen ECRL di Terengganu yang akan dibina ialah di Jertih, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Kemasik, yang berfungsi sebagai stesen penumpang, manakala Dungun dan Chukai bagi tujuan penumpang serta kargo.

Setakat April, kerja-kerja pembinaan projek ECRL di Terengganu telah mencapai tahap kemajuan 55.21 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak, sebelum ini memaklumkan kerja-kerja pembinaan jajaran sepanjang 275 kilometer (km) di negeri itu, menepati jadual yang ditetapkan dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026.

Secara keseluruhan, pembinaan ECRL melibatkan laluan sepanjang 665 kilometer dengan 20 stesen yang bermula dari Tunjong di Kota Bharu, Kelantan dan berakhir di Pelabuhan Klang, Selangor. -Bernama