• 2025-10-07 02:48 PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyembah maklum beberapa perkembangan semasa kepada Majlis Raja-Raja termasuk penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada akhir bulan ini ketika dipanggil menghadap di Istana Negara pagi tadi.

Anwar berkata beliau turut menyembah maklum kepada MRR mengenai kehadiran Donald Trump dan pendirian Malaysia tentang cadangan pendamaian Gaza yang dipelopori oleh Presiden Amerika Syarikat itu.

Beliau menyatakan mesyuarat pramajlis Raja-Raja biasa membincangkan perkembangan-perkembangan semasa termasuk lawatan Trump dan beberapa isu dasar selain persiapan Belanjawan 2026.

Terdahulu Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata Perdana Menteri tidak dapat menghadiri sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat untuk menjawab dua soalan yang telah disenaraikan kerana dipanggil menghadap MRR.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini di Kuala Lumpur dijangka menjadi penganjuran terbesar dalam sejarahnya sejak kali pertama diadakan pada tahun 1976.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini. – Bernama