PUTRAJAYA: Pakatan Harapan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan hal-hal berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu serta memuktamadkan calon yang sesuai untuk bertanding mewakili parti itu di kawasan tersebut.
Menteri Dalam Negeri yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata beliau akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH hari ini untuk menentukan tarikh bagi mengadakan mesyuarat tersebut.
“Biasanya pada mesyuarat itu kami akan memuktamadkan status dari segi parti yang bertanding di kawasan yang mengalami kekosongan itu.
“Kemudian kami akan mendengar parti berkenaan untuk mengemukakan tentang senarai calon mereka... seterusnya kami akan membincangkan soal persiapan jentera, logistik dan sebagainya,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata secara kebiasaannya itu adalah turutan setiap kali perjumpaan dan agenda parti mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK).
“Saya akan berbincang dengan Pengerusi PH selesai saja sidang media ini. Kemudian saya akan notiskan mesyuarat terdekat sesuai dengan pengumuman yang telah dibuat oleh SPR pada hari ini,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 11 Mei ini.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).
Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac lepas.
Lee, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013 meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.
PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.