• 2025-08-11 05:54 PM

TUMPAT: Sebanyak 128 jeti haram di sepanjang Sungai Golok dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Rantau Panjang, Pasir Mas bakal dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata tindakan ini bertujuan memperkukuh kawalan sempadan dan mengekang jenayah rentas sempadan Malaysia-Thailand.

“Jeti yang dirobohkan ini dijangka dapat menghapuskan sepenuhnya penggunaan laluan tidak sah di kawasan berkenaan serta menghalang kegiatan jenayah rentas sempadan.

“Kita anggarkan setiap jeti yang bakal dirobohkan memakan kos antara RM2,000 hingga RM5,000 dan ia akan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk PBT,“ katanya.

Beliau berkata tinjauan sempadan yang dijalankan setiap masa telah berjaya mengurangkan kadar kemasukan ke laluan tidak sah hingga 20 peratus.

“Bagi memperkukuh lagi kawalan, dua pos kawalan baharu di Jeram Perdah akan dimasuki anggota PGA selepas mendapat kelulusan JPS.

“Ketika ini enam pos kawalan lama masih digunakan manakala enam lagi dalam proses pembinaan,“ katanya.

Mohd Yusoff berkata pihaknya turut memohon pembinaan lapan pos tambahan di Rantau Panjang, Jeram Perdah, dan Pengkalan Kubor. Manakala empat lagi di Pengkalan Kubor termasuk Pulau Tengkorak.

“Cadangan penggunaan AI bagi pemantauan sempadan tidak dapat dilaksanakan kerana keadaan Sungai Golok yang sempit,“ katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan sedang meneliti cadangan untuk memperkukuh kawalan sempadan negara.

Beliau berkata aspek keselamatan sempadan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan memandangkan risiko penyeludupan dadah dan ancaman lain - Bernama