Your Title

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi(gambar) hari ini mengumumkan enam teras sebagai tunjang utama dalam memastikan visi menjadikan Johor negeri maju menjelang 2030 menjadi kenyataan.

Beliau berkata di bawah enam teras itu, Johor yang mempunyai segala ramuan untuk berjaya perlu bangkit setelah dua tahun bertarung dengan pandemik Covid-19.

Katanya, enam teras itu adalah Tadbir Urus Kerajaan, Pembangunan Ekonomi, Jaringan Keselamatan Sosial, Kemudahan, Keperluan Asas dan Orang Muda Johor.

Onn Hafiz berkata Tadbir Urus Kerajaan menjadi asas utama dalam pentadbirannya kerana kecekapan dan keberkesanan pentadbiran sebuah kerajaan bergantung kepada pengamalan tadbir urus terbaik atau good governance di semua peringkat.

Katanya, kerajaan negeri juga akan melaksanakan Polisi Tiada Hadiah lanjutan daripada pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Kerajaan Johor 2021-2025 yang dilancarkan penghujung tahun lepas sebagai usaha mengukuhkan budaya kerja berintegriti dan berkualiti.

“Di bawah kepimpinan saya, tadbir urus diletakkan sebagai teras Pertama Hala Tuju Pembangunan Negeri Johor. Ia menjadi indikator penting menunjangi komponen-komponen teras lain yang akan saya kongsikan,“ katanya dalam amanat diumumkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA) di sini hari ini.

Amanat tersebut turut disiarkan secara langsung di laman Facebook beliau.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Azmi Rohani, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

Dianggarkan lebih 1,600 penjawat awam hadir bagi mendengar amanat berkenaan.

Selain itu, Onn Hafiz berkata antara diberi penekanan adalah teras Pembangunan Ekonomi dengan menyasarkan Johor kembali meneguhkan semua sektor ekonomi yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri agar terus berkembang dengan pesat untuk tahun mendatang.

Katanya, ia penting bagi memastikan Johor berjaya mencapai nilai KDNK RM260 bilion menjelang 2030, lebih dua kali ganda saiz ekonomi Johor ketika ini.

Walaupun nilai yang memerlukan ekonomi Johor tumbuh sekitar tujuh peratus setahun itu tinggi, namun beliau yakin ia tidak mustahil untuk dicapai sekiranya semua pihak beriltizam dan komited dalam merealisasikannya.

Dalam teras Jaringan Keselamatan Sosial pula, selain daripada lima komponen utama dalam teras seperti penyelenggaraan jalan raya, perumahan, bekalan air, internet dan telekomunikasi serta bekalan makanan, kerajaan negeri juga mengenal pasti 3,000 ekar tanah untuk diusahakan dengan tanaman bernilai tinggi bukan sahaja bagi tujuan domestik tetapi juga eksport antarabangsa.

“Saya menggesa agar kita turut menguasai setiap aktiviti dalam rantaian nilai ekonomi makanan ini agar hasrat From farm, to fork menjadi kenyataan,“ katanya.

Onn Hafiz berkata dalam usaha untuk menggilap bakat hampir dua juta rakyat Johor atau 50 peratus daripadanya adalah Orang Muda Johor, kerajaan negeri akan melaksanakan lima modul pembangunan belia iaitu modul Pendidikan, Kepimpinan, Keusahawanan, Sukan dan Rekreasi serta Kesukarelawanan selain mewujudkan sebuah sekolah kepimpinan.

“Modul-modul ini adalah begitu penting untuk kita memastikan generasi muda Johor menjadi modal insan berkebolehan, berwibawa, berdaya tahan dan berdaya saing seterusnya mampu mendepani apa jua cabaran mendatang dan terus memberi nilai tambah kepada kemajuan serta kejayaan negeri Johor.

“Peranan agensi-agensi kerajaan dan NGO-NGO seperti Institut Dato Onn (IDO), Southern Volunteers (SV), Dewan Muda Johor (DMJ), Strategik Modal Insan (SMI), Majlis Belia Johor (MBJ), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), JOYDEC, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Persatuan Mahasiswa Anak Johor dan banyak lagi adalah amat penting untuk menjayakan agenda ini,“ katanya.-Bernama