ALOR GAJAH: Seorang pekerja kilang maut ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja selepas motosikal yang ditunggang dihempap pokok di Jalan Industri Kelemak, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata dalam kejadian 6.30 pagi itu mangsa Ikhmal Hakimi Hasrul Rizuan,18, dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menghala ke Taman Lendu Bakti, Masjid Tanah.
“Siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa tiba di tempat kejadian. Sebatang pokok menghempap motosikalnya menyebabkan mangsa terjatuh.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ashari berkata mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Polis sedang mengesan saksi yang melihat kejadian itu serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan kenderaan terlibat telah dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi pemeriksaan.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Mohd Fadil Saidin berkata enam anggota digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan kerja-kerja memotong pokok tumbang dan operasi tamat 7.50 pagi.