BUKIT MERTAJAM: Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Melalui Sambungtara Talian Atas di Pulau Pinang yang melibatkan penyambungan terus bekalan elektrik daripada Grid Nasional di tanah besar Semenanjung ke bahagian pulau mampu membekalkan hingga 2,000 megawatt (MW).
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan (gambar) berkata projek Tenaga Nasional Bhd (TNB) itu akan bermula bulan depan dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2024 dengan kos lebih RM500 juta.
Beliau berkata projek itu amat bermakna kepada Kerajaan Pulau Pinang dan penduduk sebagai usaha mengekalkan kestabilan bekalan elektrik di bahagian pulau negeri ini sekali gus pemangkin pertumbuhan ekonomi.
“Penyambungan terus bekalan elektrik ke Pulau Pinang melalui penghantaran talian atas 31 menara tunggal 275kV sepanjang 8.5 kilometer (km) yang bakal menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Stesen Janakuasa (SJ) Perai ke PMU The Light itu dibina selari dengan Jambatan Pulau Pinang.
“Ia bakal menjadi mercu tanda ikonik pelancongan kerana enam daripada 31 menara talian penghantarannya unik dengan reka bentuk buah pinang. Keenam-enamnya pula akan dibina di tengah-tengah jajaran jambatan Pulau Pinang,“ katanya berucap pada majlis pelancaran projek itu di sini hari ini yang dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Baharin Din.
Takiyudin berkata kapasiti bekalan sedia ada di bahagian pulau negeri itu adalah sebanyak 1,130MW dan bakal menurun ke tahap lingkungan 800MW apabila SJ Gelugor menamatkan kontrak perkhidmatannya pada Ogos 2024.
Beliau berkata pada masa yang sama, permintaan dijangka meningkat pada masa hadapan berdasarkan permintaan beban puncak yang pernah mencecah hingga 777.85 MW yang direkodkan pada Januari 2020.
“Maka, amat tepat sekali pelaksanaan projek talian atas ini yang berkapasiti lebih tinggi berbanding kaedah kabel bawah jambatan dan kabel dasar laut kerana ia mampu menghantar bekalan sebanyak 2,000MW dari SJ Perai ke PMU The Light bergantung kepada permintaan beban di kawasan pulau,“ katanya.
Beliau berkata projek itu akan dibangunkan oleh gabungan tiga syarikat berpengalaman dalam pembinaan talian atas dan kerja-kerja pembinaan di laut termasuk CHEC Construction (M) Sdn Bhd yang terlibat secara langsung dalam pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Menurutnya projek itu juga adalah penyelesaian paling lestari menyalurkan bekalan elektrik dari Grid Nasional ke bahagian pulau negeri itu dengan mengambil kira aspek kewajaran kos, keselamatan, kecekapan dan kestabilan bekalan termasuk dari segi kepantasan mengesan sebarang kerosakan atau gangguan.
Takiyuddin berkata semua elemen tersebut menjadikan pelaksanaan projek berkenaan turut menterjemah komitmen TNB terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) malah kerja pembinaan menara di dalam air juga tidak akan memberi impak kepada lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang.
“Impak ekologi dasar laut juga adalah lebih rendah kerana menara atas laut yang akan dibina dengan tapak adalah jauh lebih kecil berbanding dengan jajaran kabel dasar laut,“ katanya.
Beliau berkata projek itu juga sebahagian daripada pelaburan berterusan TNB dalam membangun dan memodenkan Grid Nasional menjadikan grid pintar yang stabil serta berdaya harap dalam memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.
Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri sudah tentunya menyokong penuh projek tersebut kerana akan merancakkan pembangunan negeri selaras Visi Penang 2030.
“Ini sangat penting untuk bekalan elektrik di Pulau Pinang pada masa depan, memandangkan ketiga-tiga talian penghantaran bekalan sedia ada sudah berusia 20 hingga 38 tahun dan tentunya memerlukan kos yang tinggi bagi tujuan penyelenggaraan serta sebagainya,“ katanya.
Tiga penghantaran bekalan elektrik sedia ada ke bahagian pulau negeri itu adalah melalui kabel dasar laut 132kV dari SJ Perai ke SJ Gelugor yang dimula tugas pada 1978, 132kV kabel bawah jambatan (1989) dan 275kV kabel dasar laut dari PMU Juru ke PMU Bayan Lepas pada 1995 di samping SJ Gelugor.-Bernama