SIBU: Seorang lelaki warga emas maut manakala empat lagi penumpang terselamat dalam kemalangan melibatkan kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kilometer 38.6 Jalan Musah/Kajah, Song, Bahagian Kapit malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak mengesahkan mangsa yang maut ialah Berain Sinau, 81 tahun. Kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang dinaikinya terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.
“Terdapat lima individu dalam kenderaan tersebut. Seorang maut di tempat kejadian, seorang cedera, manakala tiga lagi selamat tanpa kecederaan,“ katanya.
Basir Dingun, 43, mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kanowit oleh orang awam. Pemandu berusia 50 tahun dan dua penumpang lain, masing-masing berusia 61 dan 44 tahun, tidak mengalami kecederaan serius.
Panggilan kecemasan diterima pada 7.50 malam, dan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat Song tiba di lokasi dengan bantuan polis.
“Pasukan penyelamat terpaksa melalui jalan balak sejauh 46 kilometer sebelum tiba di lokasi pada 9.23 malam. Bantuan jentolak daripada syarikat pembalakan digunakan untuk membuka laluan dan menarik kenderaan ke lokasi lebih selamat,“ jelas jurucakap itu.
Mangsa yang maut kemudian diangkat menggunakan pengusung dan diserahkan kepada polis. Operasi penyelamatan ditamatkan sepenuhnya pada 12.50 pagi - Bernama