KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 kereta dan tiga motosikal musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel di Lebuhraya Bukit Jalil, Bandar Puchong Jaya pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.56 pagi dan sebanyak 21 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong bersama BBP Subang Jaya, Seri Kembangan dan Damansara dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi pada 11.04 pagi, operasi pemadaman segera dilaksanakan dan kebakaran melibatkan sebuah bangunan kelas B yang dijadikan bengkel kereta dan motosikal dengan keluasan anggaran 80x60 kaki persegi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kebakaran telah memusnahkan kira-kira 70 peratus struktur bengkel berkenaan dan tiada mangsa terlibat.

Katanya, operasi pemadaman sedang giat dijalankan dan punca kejadian masih dalam siasatan.