the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, July 26, 2026
26.4 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Wanita dipenjara 24 tahun seleweng wang syarikat lebih RM680,000

MELAKA: Seorang bekas eksekutif akaun sebuah syarikat dihukum penjara 24 tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan wang milik majikannya berjumlah RM680,108.13, empat tahun lepas.

Tan Siau Ling, 43, mengaku bersalah terhadap kesalahan itu dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita terbabit yang ketika itu bekerja sebagai eksekutif akaun di syarikat Hap Yeng Seng Sdn Bhd didapati melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang daripada akaun United Overseas Bank milik syarikat itu ke dalam beberapa akaun bank milik peribadi dan bekas suaminya berjumlah keseluruhan RM680,108.13.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di syarikat Hap Yeng Seng Sdn Bhd, Jalan PM 5, Plaza Mahkota Melaka di sini antara 24 Mei 2019 hingga 23 Okt 2019.

Tan didakwa di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara minimum satu tahun dan maksimum 14 tahun serta dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Rashidah Baharom mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat selain mengambil kira kerugian dialami syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, peguam Nur Atifah Kamal Effendi yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum memandangkan Tan yang juga ibu tunggal telah insaf dan menanggung tiga anak yang masih bersekolah serta ibunya yang uzur.

Nur Atifah turut memberi alasan tertuduh melakukan tindakan sedemikian kerana terdesak selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan palsu dalam talian.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 20 Jun 2023. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings