the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, June 23, 2026
22.2 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Remaja disyaki bunuh ibu, abang: Sokongan mental di sekolah perlu diperkukuh

KUALA LUMPUR: Kejadian tragis melibatkan pelajar berumur 17 tahun yang disyaki membunuh ibu dan abangnya, serta menyebabkan adiknya cedera parah di Melaka baru-baru ini, menimbulkan kebimbangan dan gesaan supaya sokongan kesihatan mental untuk belia diperkukuh.

Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental Tan Sri Lee Lam Thye berkata kes itu memperlihatkan jurang dalam sistem sokongan di negara ini, kerana laporan awal menunjukkan insiden terbabit berpunca daripada ketegangan domestik berpanjangan, termasuk kemungkinan tekanan berkaitan pelajaran.

“Masalah kesihatan mental, terutamanya dalam kalangan remaja ialah satu realiti. Kemurungan, keresahan, pengasingan emosi dan kemarahan yang terpendam boleh menjadi parah jika tidak dikesan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata kaunselor sekolah selalunya dibebani tugas atau tiada ketika diperlukan manakala ibu bapa tidak terlatih untuk mengenal pasti tanda-tanda tekanan, malah remaja juga sering memendam perasaan kerana takut dinilai atau dihukum.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan untuk memperkukuh infrastruktur kaunseling dengan memastikan setiap sekolah mempunyai petugas profesional terlatih dalam psikologi remaja, selain mencadangkan pelaksanaan program literasi emosi bagi membantu pelajar mengurus perasaan dan mendapatkan sokongan apabila tertekan.

Lee turut menyeru Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk bekerjasama membangunkan perkhidmatan kesihatan mental yang mudah diakses dan bebas stigma, di kawasan bandar dan luar bandar.

“Unit bergerak, saluran rujukan yang dikaitkan dengan sekolah, serta klinik mesra belia perlu diperluas,“ katanya.

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan kempen peringkat kebangsaan untuk mendidik penjaga dan guru mengenai kecerdasan emosi, komunikasi berhemah dan pengesanan tanda amaran awal.

“Harus kita fahami, keganasan tidak boleh diterima sama sekali, tetapi berdiam diri dan tidak bertindak juga boleh mengundang bahaya. Jika tragedi ini menjadi pemangkin kepada perbincangan yang lebih mendalam dan pembaharuan yang tegas dalam isu kesihatan mental remaja, mungkin kita dapat mencegah kehilangan nyawa pada masa hadapan,“ katanya.

Menurut laporan media, remaja 17 tahun itu ditahan berhubung pembunuhan ibunya berusia 51 tahun dan abangnya, 21, di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, Melaka pada Khamis lepas.

Siasatan awal polis mendapati motif kejadian dipercayai akibat tekanan perasaan dan dendam kerana suspek sering dipaksa belajar untuk mendapatkan keputusan cemerlang.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

New records and fierce competition define Round 2 of MotoMini Malaysia

The spotlight this weekend was firmly on the SIC Ohvale Junior Championship, where Haqim Al Mahdi continued to prove himself as the most consistent rider in the field by securing another two victories, extending his winning streak to four consecutive races.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings