Mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 3,111 orang di 25 pusat pemindahan, manakala di Sabah kekal 366 orang setakat pagi ini.
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Sarawak mencatatkan peningkatan manakala di Sabah kekal tidak berubah setakat pagi ini.
Di Sarawak, jumlah mangsa meningkat kepada 3,111 orang daripada 962 keluarga berbanding 2,802 orang daripada 864 keluarga pada petang semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan sebanyak 25 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif.
PPS tersebut melibatkan kawasan Serian, Siburan, Sibu, Selangau, Bintulu dan Sebauh.
Antara PPS yang menempatkan mangsa paling ramai ialah Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh, Serian dengan 431 mangsa daripada 125 keluarga.
Diikuti Dewan Masyarakat Serian menempatkan 325 mangsa daripada 94 keluarga.
Pusat pemindahan di Dewan Suarah Bintulu pula menempatkan 306 mangsa daripada 114 keluarga.
Di Sabah, jumlah mangsa kekal 366 orang daripada 138 keluarga, sama seperti yang direkodkan petang semalam.
Kesemua mangsa di daerah Beaufort ditempatkan di dua PPS yang masih beroperasi.
Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Dewan Slagon merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 328 orang daripada 123 keluarga.
Manakala PPS Dewan Sri Dayang Shahbandar, Padas Damit menempatkan 38 mangsa daripada 15 keluarga.








