the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, July 26, 2026
26.4 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Perancangan, pembangunan bandar kini perlu anjakan – Fadillah

PUTRAJAYA: Perancangan dan pembangunan bandar pada masa ini bukan sahaja merangkumi pembangunan fizikal atau spatial tetapi juga membina komuniti yang inklusif, mampan dan berdaya saing, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Justeru, beliau yang juga Menteri Peralihan dan Transformasi Air berkata bandar-bandar di Malaysia tidak boleh lagi dilihat sebagai pusat ekonomi semata-mata tetapi perlu memberi fokus kepada strategi bagi menangani perubahan iklim, pertumbuhan penduduk, kemajuan teknologi dan ekuiti sosial.

“Bandar-bandar kita kini amat terkesan dengan perubahan iklim dan risiko bencana terutamanya banjir. Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mengenal pasti 5,648 hotspot banjir di seluruh negara,“ katanya ketika berucap pada Kongres Perancangan Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Fadillah berkata infrastruktur di bandar yang telah lama juga perlu dibangun semula dengan teknologi moden selaras dengan keperluan era digital.

“Dengan pembangunan bandar pintar, kita bukan sahaja memperbaiki kualiti hidup tetapi juga menyediakan peluang untuk merangka sistem bandar yang lebih terhubung, selamat dan responsif. Inisiatif ini, sejajar dengan prinsip keadilan sosial dan kesaksamaan yang termaktub dalam aspirasi MADANI,“ katanya.

Sehubungan itu, Fadillah turut mencadangkan agar kawasan bandar yang sudah mulai usang atau kurang maju diberikan nafas baharu untuk menjadikannya lebih berfungsi dan menarik.

Pada masa sama, beliau berkata dalam melaksanakan pembangunan bandar yang pesat, langkah perlu diambil bagi memastikan ia tidak memutuskan hubungan antara rakyat dan warisan budaya serta sejarah tempatan.

“Identiti dan warisan budaya perlu dipelihara dalam perancangan bandar supaya bandar menjadi cerminan identiti kita. Dalam proses pembaharuan bandar yang inklusif, ia harus memastikan bahawa setiap lapisan masyarakat terlibat dalam proses ini,“ katanya.

Fadillah menyeru semua pihak, terutamanya perancang bandar untuk berganding bahu dalam membina masa hadapan yang lebih cerah buat negara melalui perancangan dan pembangunan bandar yang mampan dan inklusif.

“Ingatlah, perancangan bandar adalah tentang memudahkan. Peranan semua perancang bandar dalam era baharu pembangunan negara pada masa hadapan amat penting dan tidak dapat disangkal,“ katanya.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings