PM Anwar tekankan kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan penting bagi pembangunan kemudahan awam termasuk hospital di Sabah
TAWAU: Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan pembangunan kemudahan awam yang lebih baik di Sabah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan pemilihan wakil rakyat yang benar-benar menjaga kepentingan rakyat.
“Kerjasama kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sangat penting, sebab itu Kerajaan MADANI dalam tiga tahun ini, kita kata apa yang tertangguh selesaikan dahulu,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Peluncuran Blok Bangunan Baharu Hospital Tawau yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.
Anwar berkata kerangka pembangunan negara MADANI mengutamakan pendidikan dan kesihatan sebagai sektor terpenting.
“Banyak negara lain menumpukan kepada aspek pertahanan ataupun aspek-aspek lain, projek-projek mega, bangunan tinggi atau jambatan panjang yang membanggakan tetapi dalam Kerajaan MADANI, kita tumpu dua aspek terpenting iaitu pendidikan dan kesihatan.”
Beliau mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan menambah kemudahan hospital berikutan kapasiti sedia ada sudah penuh.
Anwar turut menyentuh mengenai isu doktor kontrak yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.
“Kita selesaikan hampir keseluruhan masalah doktor kontrak yang riuh rendah dulunya, begitu juga soal elaun,” katanya mengenai isu yang membabitkan 10,000 doktor.
Perdana Menteri turut mengulangi komitmen kerajaan dalam menangani isu beban tugas dan kebajikan penjawat awam.
Beliau berjanji menaikkan gaji penjawat awam setelah 12 tahun tiada kenaikan. – Bernama






