Empat suspek dihukum penjara 10 tahun kerana merompak lelaki di hotel Kuching.
KUCHING: Tiga lelaki dan seorang wanita dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana melakukan rompakan berkumpulan.
Hakim Musli Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Ikmarruddin Adery, Mohd Farus Junaidi, Nor Atiesya Mohamad Effindy (masing-masing 30 tahun) dan Zaidi Majani (37 tahun).
Mereka mengaku bersalah merompak seorang lelaki berusia 23 tahun di sebuah hotel di Batu 3 pada pukul 9 malam 13 November lepas.
Kesalahan itu dibawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 14 November lepas.
Ketiga-tiga tertuduh lelaki tambahan dikenakan lima sebatan setiap seorang.
Menurut fakta kes, mangsa berada di bilik hotel bersama wanita bernama ‘Bella’ ketika didatangi dua lelaki.
Seorang daripada suspek mendakwa dirinya sebagai suami Bella sebelum memarahi dan mengugut mangsa.
Seorang tertuduh kemudian mengambil kunci kereta, kad pengenalan dan telefon bimbit mangsa.
Mereka melarikan diri menggunakan kereta mangsa yang diparkir di hotel berkenaan.
Mangsa mengejar suspek menggunakan motosikal dipercayai milik tertuduh hingga ke pusat beli-belah bandar raya ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmawi Nur Haqim Mokhtar.
Semua tertuduh tidak diwakili peguam dalam prosiding tersebut. – Bernama








