Penduduk Taman Saujana Aman, Sungai Buloh dilanda banjir teruk menyerupai 2021, dengan 863 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara
SUNGAI BULOH: Igauan banjir buruk 2021 berulang kembali di Taman Saujana Aman di sini selepas kawasan perumahan itu ditenggelami air.
Pekerja swasta Norjulia Mohmad Sukor, 44, berkata dia dan suami keluar rumah pada pukul 7 pagi tetapi berpatah balik kerana berasa tidak sedap hati.
“Sampai di rumah, air sungai mula melimpah memasuki rumah secara perlahan-lahan iaitu sekitar pukul 9 pagi,” katanya.
Norjulia yang juga pembuat kuih sambilan berkata air mula masuk di bahagian dapur dan meningkat sehingga ke ruang tamu menjelang pukul 11 pagi.
“Banjir kali ini boleh kata hampir sama macam tahun 2021 dulu, cuma kali ini lebih bersedia…dah alih siap-siap kereta sebab dulu kereta habis tenggelam,” ujarnya.
Beliau ditemui di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan Desa Aman yang menempatkan mangsa banjir.
Seorang lagi penduduk Muhammad Fathi Mohamed Yudin, 32, menganggarkan kerugian melebihi RM10,000.
“Saya hanya sempat menyelamatkan barang-barang kecil seperti televisyen manakala barang elektronik lain seperti mesin basuh dan peti sejuk ditenggelami air,” katanya.
Muhammad Fathi yang mula menetap di kawasan itu pada 2020 berkata banjir kali ini kedua teruk dialaminya.
“Sebelum ni naik juga tapi hanya paras buku lali sahaja, ini memang teruk sebab masa saya keluar dari rumah tengah hari tadi dah paras pinggang,” jelasnya.
Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya M. Kirushnan berkata air mulai surut setakat awal malam.
Pihak bomba masih berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Beliau menasihati orang awam yang terkesan untuk mengikut arahan pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Menurut laman web infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, pusat pemindahan di Desa Aman mencatatkan pendaftaran mangsa tertinggi di Selangor.
Seramai 863 individu daripada 205 keluarga telah didaftarkan setakat malam ini. – Bernama







