Kementerian Luar pantau bencana banjir di Indonesia, dengan enam rakyat Malaysia selamat pulang dan seorang masih hilang dalam operasi pencarian.
SEREMBAN: Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Medan terus memantau serta menangani situasi bencana banjir dan tanah runtuh di Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh, Indonesia.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata setakat semalam, tujuh rakyat Malaysia dikenal pasti terkandas akibat banjir.
Daripada jumlah itu, seorang masih hilang manakala enam individu telah selamat pulang ke tanah air.
“Bagi mangsa hilang (Asrul Nizam Apridwson), operasi pencarian memasuki hari ke-23 masih diteruskan,” katanya.
Beliau menambah buat masa ini tiada pemakluman terkini daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung mangsa tersebut.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas Program Khatan Perdana Taman Pinggiran Senawang di sini hari ini.
Berhubung status pelajar, Mohamad berkata Education Malaysia di Jakarta melaporkan sebanyak 49 pelajar Malaysia berada di Provinsi Aceh.
Daripada jumlah itu, 24 daripadanya masih berada di sana manakala 25 lagi selamat pulang ke tanah air setakat 16 Disember lepas.
“Pelajar kita di Provinsi Aceh berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Beliau turut menyatakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyalurkan bantuan kewangan RM500 kepada pelajar Malaysia terkesan di Indonesia.
Mohamad berkata secara keseluruhan, Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia melaporkan sebanyak 1,071 orang terkorban.
Seramai 185 masih dilaporkan hilang dan lebih 525,868 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara akibat bencana tersebut setakat semalam.
Beliau berkata Indonesia juga menganggarkan kos keseluruhan bagi proses pemulihan dan pembinaan melebihi RM12.7 juta bagi ketiga-tiga wilayah tersebut. – Bernama








