Liputan CelcomDigi, Maxis dan UMobile terjejas selepas kebakaran menara komunikasi di Kuala Kangsar, MCMC aktifkan WiFi Starlink sebagai langkah sementara
IPOH: Liputan perkhidmatan telekomunikasi bagi pengguna CelcomDigi, Maxis dan UMobile terjejas susulan kebakaran sebuah menara komunikasi di Kuala Kangsar.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan insiden itu melibatkan menara milik Maxis yang menempatkan peralatan stesen pemancar CelcomDigi dan Maxis.
Kebakaran berlaku di Kampung Kelebor dekat Kuala Kangsar pada pukul 6.50 petang semalam.
Kawasan terjejas termasuk Kampung Kelebor, Kampung Langkap Ketior, Kampung Rambai 7, Kampung Menora, Kampung Senggang, Kampung Ulu Kenas dan Kampung Lempor.
Liputan di Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran lokasi kejadian juga terkesan.
MCMC menyatakan punca kebakaran masih dalam siasatan dan akses ke lokasi telah ditutup oleh pihak berkuasa.
Suruhanjaya itu telah mengarahkan penyedia perkhidmatan melaksanakan tindakan pembetulan serta-merta termasuk pelan pemulihan menyeluruh.
Sebagai langkah kecemasan, MCMC mengaktifkan kemudahan WiFi satelit Starlink di R&R Sungai Perak arah utara PLUS.
Ini bagi memastikan pengguna lebuh raya kekal mempunyai akses komunikasi.
MCMC juga mengarahkan pemilik menara dan penyedia perkhidmatan memperketat penyelenggaraan serta pemantauan berterusan di semua menara.
Semalam, Pemangku Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata kebakaran telah berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Pemadaman itu dibantu tuan tanah yang menggunakan alat pemadam api serta air tadahan.








