Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 148 orang dengan pembukaan PPS baharu di Segamat, manakala dua sungai dilaporkan melepasi paras bahaya
JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 148 orang setakat pagi ini berbanding 103 orang semalam.
Peningkatan itu susulan pembukaan sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Segamat.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata pembukaan PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tah Kang menjadikan tujuh PPS kini beroperasi di daerah berkenaan.
PPS baharu itu menempatkan 34 mangsa daripada 13 keluarga, manakala selebihnya ditempatkan di enam PPS lain.
Lokasi lain termasuk Balai Raya Kampung Batu Badak, Dewan Serbaguna Kampung Tasek, Balai Raya Kampung Jabi, Balai Raya Kampung Paya Lebar, Dewan Serbaguna Pekan Air Panas dan Dewan Serbaguna Kampung Orang Asli Segamat Kecil.
Asman Shah turut memaklumkan dua sungai di Segamat telah melepasi paras bahaya.
Sungai Muar di Kampung Awat mencatat bacaan 20.12 meter dan Sungai Muar di Buloh Kasap pula 8.59 meter.
Sementara itu, hujan dilaporkan di beberapa daerah termasuk Johor Bahru, Mersing, Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Kulai pagi ini.








