Dua bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terima rasuah RM18,810 dan gagal laporkan kepada SPRM di Mahkamah Sesyen Shah Alam
SHAH ALAM: Dua bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah serta gagal melaporkan perbuatan rasuah kepada pihak berkuasa.
Nadiah Zakaria, 33, dan Abdul Rahman Shahrudin, 35, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Nadiah berdepan 12 pertuduhan iaitu enam pertuduhan utama menerima rasuah dan enam pertuduhan pilihan gagal melaporkan perbuatan rasuah.
Abdul Rahman berdepan 14 pertuduhan iaitu tujuh utama dan tujuh pilihan yang sama.
Nadiah yang bertugas sebagai perunding pinjaman perumahan didakwa menerima suapan berjumlah RM11,444 daripada akaun firma guaman.
Suapan itu sebagai upah mencadangkan firma tersebut bagi penyediaan enam dokumen perjanjian pembiayaan perumahan bernilai keseluruhan RM3.2 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan sebuah bank di Shah Alam antara 1 Februari 2021 dan 2 Disember 2022.
Bagi pertuduhan pilihan, Nadiah didakwa gagal melaporkan kesemua perbuatan rasuah terbabit kepada pegawai SPRM atau polis.
Abdul Rahman yang juga perunding pinjaman perumahan didakwa menerima wang berjumlah keseluruhan RM7,366 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik isterinya.
Wang itu diterima daripada firma guaman sama sebagai upah bagi tujuan mencadangkan firma tersebut untuk penyediaan 10 dokumen sama berjumlah RM2.61 juta.
Bagi pertuduhan pilihan dia juga didakwa atas kesalahan gagal melaporkan perbuatan rasuah kepada pihak berkuasa.
Abdul Rahman didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di cawangan sebuah bank di Shah Alam pada tarikh berlainan antara 2018 dan 2019.
Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum melebihi 20 tahun dan denda.
Bagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa mengikut subseksyen 25(2) Akta SPRM yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Izzati Sapifiee menawarkan jaminan RM15,000 setiap seorang dengan syarat tambahan.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan jaminan masing-masing RM6,000 kepada Nadiah dan RM5,000 kepada Abdul Rahman dengan semua syarat tambahan.
Nadiah dikecualikan sementara daripada melaporkan diri ke SPRM kerana sedang sarat mengandung.
Kes Nadiah ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 April, manakala Abdul Rahman pada 7 Januari depan. – Bernama






