JPJ Kuala Lumpur rampas 21 kenderaan, termasuk dua bas pelancong, kerana syarat permit dilanggar dalam operasi bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 kenderaan termasuk dua bas persiaran telah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dalam satu Operasi Sepadu di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata kedua-dua bas itu disita kerana melanggar syarat permit operasi dengan gagal menyediakan pemandu pelancong berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Ketidakpatuhan terhadap syarat ini bukan sahaja melibatkan kesalahan undang-undang, malah berpotensi menjejaskan keselamatan penumpang serta mencemarkan industri pelancongan,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan penyitaan diambil serta-merta tanpa kompromi.
Kesalahan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1)(b) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana gagal mematuhi syarat lesen pengendalian kenderaan perkhidmatan pelancongan.
Di bawah Seksyen 41(3) akta sama, pengendali yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Kenderaan terlibat juga boleh dilucuthakkan mengikut Seksyen 80(4) akta berkenaan.
Operasi selama empat jam itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Agensi Antidadah Kebangsaan dan PLUS Malaysia Berhad.
Seramai 2,091 kenderaan diperiksa sepanjang operasi dengan 382 kesalahan dikesan dan notis saman dikeluarkan.
Empat pemandu didapati positif dadah dalam operasi yang sama.
Hamidi berkata JPJ Kuala Lumpur akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berkala, konsisten dan berfokus.
Beliau turut memaklumkan statistik JPJ Kuala Lumpur menunjukkan penurunan dalam beberapa kategori penguatkuasaan bagi tahun 2025 berbanding 2024.
Pada 2025, sebanyak 176,536 kenderaan diperiksa berbanding 242,661 kenderaan pada 2024.
Jumlah kenderaan yang diambil tindakan menurun daripada 52,194 kepada 46,119.
Jumlah kenderaan disita turut menurun ketara daripada 3,278 kenderaan pada 2024 kepada 995 kenderaan pada 2025.
Penurunan itu selaras dengan pendekatan penguatkuasaan bersepadu yang menggabungkan tindakan undang-undang dengan elemen pendidikan dan nasihat.









