the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, July 22, 2026
30.6 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Ketua Pengarah Tourism Malaysia bukan dipecat, tapi turun pangkat – Tiong

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menafikan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapar dipecat daripada jawatan itu, sebaliknya beliau diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah.

Tiong berkata keputusan itu dibuat berdasarkan faktor kemerosotan prestasi Ammar, disifatkan beliau sebagai tidak memuaskan, selain tidak mencapai standard ditetapkan walaupun telah beberapa kali dinasihat dan diberikan peluang.

“Saya bagi dia peluang pasal dia ada PhD (Doktor Falsafah) Pelancongan. Bila dia jalankan tugas dia tak membuktikan dia ada PhD… Pelancong datang sini, tapi destinasi baharu tiada (kerana) dia tidak lakukan libat urus dengan negeri dan negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan berhubung pemecatan Ammar susulan penularan surat bertarikh 22 Feb berkenaan notis penamatan pelantikan Ammar sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia berkuat kuasa Isnin depan.

Surat berkenaan antara lain memaklumkan penamatan perkhidmatan Ammar itu dilakukan selaras dengan peruntukan subseksyen 10 (1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481) yang dibaca bersama dengan peruntukan Seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Tiong berkata tiada libat urus dengan pemain industri juga menjadi antara punca pegawai itu diturunkan pangkat.

“Contoh China, saya kata (sasaran) lima juta masuk, pasal mereka betul-betul pelancong dan mereka berbelanja, (tapi) dia kata tak boleh capai, hanya tiga juta pelancong sahaja.

“Namun pelancong yang datang pun tidak sampai tiga juta, (hanya) 1.6 juta pelancong saja. Maksudnya anda tidak menjalankan libat urus, negeri lain mengadu kepada saya kenapa Tourism Malaysia mohon ini tak dapat, tak ada jawapan… jadi ini kita sudah nampak kelemahan itu semua,” katanya.

Beliau berkata walaupun Ammar bakal akan bersara pada bulan Mac tahun hadapan, namun beliau tidak boleh menunggu sehingga tempoh itu dan perlu untuk membuat keputusan demi kelangsungan industri pelancongan Malaysia.

Sementara itu, Tiong berkata Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika) yang juga memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), P. Manoharan akan dilantik menggantikan Ammar. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Geohan wins RM40.9m KLCC contract, order book stays at RM420m

The geotechnical specialist has secured a RM40.9 million contract for a two-tower serviced apartment project in Kuala Lumpur, with works scheduled for completion in 2027.

Ancom Nylex net profit rises 28.3% to RM81.4m in FY26

Higher selling prices and improved operational efficiency in its Industrial Chemicals division lifted Ancom Nylex's FY26 earnings to near-record net profit despite ongoing market challenges.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings