KPKT salur RM40,000 tambahan untuk naik taraf Sekolah Kebangsaan Sinar Bahagia, Kulai, melalui program Sekolah Angkat MADANI, menjadikan jumlah keseluruhan RM140,000
KULAI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan dana tambahan RM40,000 bagi kerja naik taraf kemudahan di Sekolah Kebangsaan Sinar Bahagia, Felda Taib Andak.
Peruntukan tambahan itu disalurkan melalui program Sekolah Angkat MADANI kementerian berkenaan.
Ketua Setiausaha KPKT Datuk Dr M Noor Azman Taib berkata peruntukan awal sebanyak RM100,000 telah diperuntukkan untuk program tersebut.
Beliau berkata jumlah itu ditambah bagi meluaskan skop naik taraf kemudahan di sekolah berkenaan.
“CSR melalui PR1MA Corporation Malaysia dan Urbanice Malaysia ini menumpukan kerja penyelenggaraan bangunan serta pembaikan sistem elektrik dan mekanikal di pejabat pentadbiran sekolah,” katanya.
M Noor Azman berkata melalui peruntukan tambahan, kerja mencantikkan landskap dan mengecat mural turut dilaksanakan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sekolah Angkat MADANI KPKT di sekolah itu hari ini.
Beliau berkata warga sekolah diharap dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa.
“Kita yakin usaha naik taraf ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan murid untuk belajar malah membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan,” katanya.
Peruntukan asal RM100,000 membolehkan beberapa kemudahan dinaik taraf termasuk kerja mengecat bangunan dan penggantian tingkap baharu.
Pemasangan peralatan siar raya serta penyaman udara di bilik guru dan bilik mesyuarat juga dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor turut hadir dalam majlis tersebut.
Mohd Jafni berharap pemberian peruntukan seperti program Sekolah Angkat MADANI diteruskan pada masa hadapan.
Beliau berkata program seumpama itu memberi manfaat langsung kepada golongan sasar termasuk murid sekolah. – Bernama







