Polis menunggu laporan penuh bedah siasat untuk lengkapkan siasatan kes kematian pengawal keselamatan diserang di Jalan Ipoh.
KUALA LUMPUR: Polis sedang menunggu laporan penuh bedah siasat bagi melengkapkan siasatan kes kematian seorang pengawal keselamatan berusia 54 tahun.
Mangsa diserang di luar sebuah kondominium di Jalan Ipoh pada 13 Oktober lepas.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Sukarno Mohd Zahari berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sejurus laporan diterima.
“Laporan penuh bedah siasat berkenaan mengambil sedikit masa untuk diberikan kepada pihak polis,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penutup latihan abseiling dan rappelling Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Balai Bomba dan Penyelamat Sri Petaling.
Suspek awalnya ditahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan sebelum kes diklasifikasikan semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek kini diberikan jaminan polis berdasarkan penahanan pada peringkat awal.
Media pada 3 November lepas melaporkan siasatan kes dikemaskini susulan kematian pengawal keselamatan itu.
Mangsa R. Chandran sebelum ini membuat laporan polis mendakwa suspek berusia 32 tahun mengacukan objek menyerupai pistol kepadanya.
Polis berjaya merampas satu pemetik api yang menyerupai pistol daripada suspek.
Mangsa dilaporkan diserang dan dicederakan oleh seorang penyewa lelaki ketika bertugas di pos kawalan.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, suspek menampar, menumbuk dan memijak badan mangsa.
Tindakan itu berlaku selepas permintaan suspek untuk ditemani ke blok lain ditolak kerana mangsa tidak boleh meninggalkan pos kawalan.
Mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian kepala dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Mangsa dibenarkan pulang namun pada malam hari sama dilaporkan tidak sedarkan diri di rumahnya.
Mangsa disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung. – Bernama






