KUALA LUMPUR: Sebanyak 220 projek diluluskan di bawah Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah dengan Kerjasama Kerajaan Negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi 2024 dan 2025, setakat 30 Mei.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan projek itu melibatkan aktiviti tanaman, ternakan, perikanan, agropelancongan serta pembangunan kapasiti petani, peladang, nelayan dan penternak.
“Menerusi Bajet 2025, kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM300 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan pertanian secara bersama dengan kerajaan negeri.
“Program ini merangkumi usaha pembaikan, naik taraf dan pelaksanaan aktiviti pertanian di tanah di bawah bidang kuasa bersama antara kerajaan negeri dan KPKM,” menurut kenyataan itu.
Perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Dengan Exco-Exco Pertanian Negeri di Putrajaya semalam.
Mesyuarat itu berperanan sebagai platform strategik penyelarasan dasar, perkongsian maklumat dan penyatuan komitmen antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam merancang serta melaksanakan agenda pembangunan sektor agromakanan secara lebih bersepadu.
KPKM memaklumkan turut dibincangkan ialah cadangan penyerahan rasmi 51 kompleks Ladang Satelit Nasional (LSN) dibina Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menggunakan peruntukan kerajaan Persekutuan di tanah milik kerajaan negeri di Negeri Sembilan, Johor dan Perak.
“Penyerahan ini dapat menyelesaikan isu pemilikan aset yang tidak jelas serta membolehkan kerajaan negeri mengurus dan menyelenggara aset itu dengan lebih sistematik dan berlandaskan undang-undang demi menjamin kelangsungan operasi penternakan dan kecekapan penggunaan aset,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan negeri juga disaran memanfaatkan Laporan Interim Banci Pertanian 2024 dan Sistem Statistik Pertanian Bersepadu (TaniStats) yang mengandungi data daripada semua pemain utama sektor pertanian untuk merangka dasar, strategi dan hala tuju pembangunan sektor agromakanan dengan lebih berfokus dan berimpak tinggi.
Mesyuarat turut mengambil maklum keperluan melaksanakan tindakan strategik menangani isu penyeludupan ternakan secara menyeluruh di sempadan Malaysia-Thailand bagi memastikan sektor ternakan negara bebas ancaman penyakit dan kekal berdaya saing.T220 Projek pertanian diluluskan di bawah program optimum penggunaan tanah