TASEK GELUGOR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) telah melupuskan 822 ekor babi yang dijangkiti Demam Babi Afrika (ASF) di tiga ladang ternakan di Kampung Selamat.
Menurut Pengarah JPVPP, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab, sebanyak 578 babi hidup dimatikan sebelum ditanam manakala 244 lagi yang telah mati turut dilupuskan. “Semua babi sama ada mati sendiri atau dimatikan kerana dijangkiti ASF sejak 7 Julai lalu, ditanam di ladang yang disahkan positif,“ katanya.
Sehingga 12 Julai, tiada ladang baharu dilaporkan positif ASF. Namun, pemantauan rapi terus dilakukan bagi mengelakkan penularan penyakit tersebut.
Langkah kawalan seperti sekatan pemindahan babi dari ladang terlibat turut dilaksanakan. Pemantauan aktif di rumah sembelih dan ladang serta peningkatan kesedaran penternak juga dijalankan.
JPVPP sedang menyiasat ladang yang gagal melaporkan kematian haiwan dan mencari tapak pelupusan sesuai untuk babi dijangkiti ASF.
Sebelum ini, tiga ladang di Kampung Selamat disahkan positif ASF berdasarkan ujian makmal. Dua ladang menunjukkan kadar kematian tinggi, meningkatkan kebimbangan penularan. - Bernama