KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) beriltizam untuk beroperasi secara bertanggungjawab dalam membina daya tahan dan kelestarian bekalan air serta meningkatkan mutu perkhidmatannya untuk kesejahteraan pengguna.

Air Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan melangkah ke tahun 2024, pelbagai inisiatif pelaburan agensi itu akan terus dipergiat susulan pelarasan tarif air baharu yang telah berkuat kuasa pada 1 Feb lepas.

“Pelarasan tarif air ini dapat memanfaatkan pengguna menerusi pelbagai inisiatif antaranya meningkatkan program penggantian paip daripada 150 kilometer (km) setahun kepada 300km setahun bermula 2024 dan diikuti dengan 400km setahun bermula 2034.

“Ini membolehkan 5,000km paip usang dapat diganti dalam tempoh 15 tahun (2040),” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Air Selangor memaklumkan inisiatif untuk meningkatkan margin rizab air kepada 20 peratus pada 2030 dilakukan menerusi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baharu antaranya melibatkan LRA Rasau Peringkat 1 yang dijangka siap 2025, manakala LRA Penyahgaraman Pulau Ketam dijangka siap pada 2026.

“Bagi inisiatif pemulihan dan peningkatan aset pula, kerja-kerja pemulihan, peningkatan dan menaik taraf aset Air Selangor akan dipertingkatkan seperti pembinaan kolam air, rumah pam dan pemasangan paip baharu di kawasan yang mengalami tekanan air rendah.

“Selain itu, mengekalkan tahap kualiti air pada tahap 99 peratus mengikut piawaian Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kerja-kerja pencucian 321 kolam air dan 11,833 km paip, serta penambahan pemasangan alat penganalisis dalam talian untuk memantau kualiti air daripada 190 buah kepada 300 buah dalam tempoh tiga tahun akan datang,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor dalam kenyataan sama turut memaklumkan seramai 285,673 penerima Skim Air Darul Ehsan (SADE) akan terus menerima air percuma untuk 20 meter padu pertama.

“Dengan semua inisiatif yang dirancang ini, Air Selangor akan memacu kemajuan yang telah dibina dan terus komited terhadap usaha tersebut dengan mengaplikasikan piawaian kecemerlangan tertinggi pada setiap aspek daripada mengabstrak air hingga kepada pengagihan air terawat yang bersih dan selamat kepada rumah serta perniagaan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan dalam usaha merealisasikan visi 2030 untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia, Air Selangor akan meneruskan komitmen jitu terhadap usaha kelestarian bagi menyediakan bekalan air terawat, bersih dan mampan kepada 9.3 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Air Selangor juga telah meraih pelbagai pencapaian membanggakan selari dengan janji jenama ‘Joy in Every Drop’ dan antara pencapaian pada tahun lepas ialah menggantikan 1,008.56km paip di bawah program penggantian paip yang dimulakan sejak 2016.

“Mematuhi Piawaian Kualiti Air Minuman KKM iaitu 99.92 peratus dan merekodkan pematuhan melebihi 99 peratus secara konsisten untuk tiga tahun berturut-turut selain melancarkan fasiliti Hydrolytics MetLab untuk merekodkan penggunaan air yang tepat dan mengurangkan kemerosotan rekod penggunaan air pada setiap masa kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.

Menerusi insiatif tanggungjawab sosial korporat Sesama Mara pula hampir 2,000 keluarga, individu dan rumah kebajikan telah dibantu.

Untuk maklumat lanjut tentang air dan Air Selangor, orang ramai boleh layari Hydro Hub, platform kandungan sehenti Air Selangor di hydrohub.airselangor.com.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image