SEREMBAN: Seorang anggota tentera yang ditahan bagi membantu siasatan kes menggunakan kekerasan terhadap seorang pemandu wanita sehingga mendatangkan kecederaan di Jalan Persiaran Senawang 4, dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata kes membabitkan anggota tentera berumur 35 tahun itu telah dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Setakat ini empat individu termasuk pemandu wanita berkenaan telah diambil keterangan dan kita minta mereka yang ada rakaman mengenai kejadian, untuk tampil memberi keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Ia termasuk rakaman papan pemuka (dashcam) atau rakaman daripada orang ramai yang berada berhampiran lokasi kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam polis menahan lelaki tersebut selepas dia dikatakan menggunakan kekerasan terhadap pemandu wanita berusia 28 tahun sehingga menyebabkan lebam di bahagian rusuk sebelah kanan dan bengkak di bahagian belakang kepala.

Ia susulan wanita itu yang memandu kereta jenis Perodua Axia tidak sempat mengelak ketika isteri lelaki itu yang berusia 34 tahun dan anak perempuannya berusia tujuh tahun tiba-tiba melintas dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan kedua-duanya cedera ringan, dalam kejadian kira-kira 10.15 malam.

Wanita itu turut disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Sebelum itu, satu video berdurasi 22 saat turut tular di aplikasi TikTok, memaparkan seorang lelaki bertindak menumbuk seorang wanita selepas dia dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.