• 2025-07-15 10:06 AM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi petanda bahawa satu pengumuman istimewa bakal dibuat untuk rakyat Malaysia tidak lama lagi. Beliau tidak memberikan butiran lanjut tetapi memuat naik poster bertulis “AKAN DATANG” di laman Facebooknya, yang terus menarik perhatian ramai.

Poster tersebut memaparkan tulisan “Suatu Penghargaan Luar Biasa Untuk Rakyat Malaysia. Bersama Malaysiaku.” Anwar hanya menulis “Nantikan...” sebagai kapsyen bersama gambar itu, mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen.

Walaupun tiada maklumat jelas diberikan, ramai yang tertanya-tanya apakah bentuk penghargaan yang bakal diumumkan. Poster misteri ini telah menjadi tumpuan di media sosial, dengan ramai yang menjangkakan pengumuman besar berkaitan bantuan atau inisiatif kerajaan. - Bernama