KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) mengenakan kadar tarif yang telah dikurangkan iaitu 19 peratus ke atas import dari Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos, 2025.
Kadar tarif balas yang disemak semula itu adalah lebih rendah daripada kadar awal yang ditetapkan sebanyak 25 peratus.
Menurut kenyataan yang diterbitkan di laman web White House pada 31 Julai, perubahan tarif itu akan terpakai ke atas barangan yang masuk untuk penggunaan, atau dikeluarkan dari gudang untuk penggunaan, pada atau selepas 12.01 pagi Eastern Daylight Time, tujuh hari selepas tarikh perintah itu.
Bagaimanapun, White House menjelaskan kadar baharu itu tidak akan terpakai ke atas barangan yang telah dimuatkan ke dalam kapal dan telah sedia dalam transit menggunakan mod pengangkutan terakhir sebelum waktu tersebut, dengan syarat barangan itu untuk penggunaan atau dikeluarkan dari gudang untuk pengunaan sebelum pukul 12.01 pagi Eastern Daylight Time pada 5 Okt, 2025.
“Barangan itu tidak akan tertakluk kepada duti tambahan baharu, sebaliknya akan kekal tertakluk kepada duti ad valorem tambahan yang sebelum ini dikenakan mengikut Perintah Eksekutif 14257, seperti yang telah dipinda,” menurut kenyataan White House.
Dalam kalangan negara anggota ASEAN, Myanmar dan Laos masing-masing dikenakan kadar tarif tertinggi iaitu sebanyak 40 peratus, diikuti Brunei (25 peratus), Vietnam (20 peratus), manakala Malaysia, Kemboja, Filipina, Thailand dan Indonesia masing-masing dikenakan tarif sebanyak 19 peratus.
Singapura pula dikenakan tarif asas sebanyak 10 peratus tanpa sebarang tarif balas.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan beliau telah mengadakan perbualan telefon dengan Presiden AS Donald Trump pada 6.50 pagi untuk membincangkan isu tarif berlandaskan semangat dan prinsip perdagangan bebas.
Anwar berkata perbualan itu turut menyentuh siri rundingan yang sedang berlangsung antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Wakil Perdagangan AS dan Setiausaha Perdagangan AS.
Pada 7 Julai lepas, Washington mengumumkan untuk mengenakan tarif pada kadar 25 peratus ke atas semua produk Malaysia ke AS, berasingan daripada tarif mengikut sektor, berkuat kuasa pada 1 Ogos, 2025 -- satu mata peratusan lebih tinggi daripada pengumuman yang dibuat pada April lepas.
Presiden Donald Trump bagaimanapun berkata tiada tarif akan dikenakan sekiranya Malaysia, atau syarikat Malaysia, memutuskan untuk membangunkan atau menghasilkan produk di AS.
Malaysia telah berunding dengan Washington sejak April bagi mengurangkan kadar tarif sebanyak 24 peratus yang dikenakan sebelum itu, dengan perbincangan terbaharu diadakan pada 18 Jun.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah ke Washington pada 18 Jun untuk bertemu dengan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, dan pegawai daripada pentadbiran AS dan pelabur untuk membincangkan isu tarif tersebut. - BERNAMA