• 2025-10-19 10:57 AM

KUALA LUMPUR: Negara-negara ASEAN akan menyelaras beberapa langkah bersama bagi memperkukuh usaha menangani cabaran media sosial selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata penyelarasan itu akan dilaksanakan melalui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai penggunaan media sosial yang lebih bertanggungjawab.

Beliau menyatakan deklarasi itu dijangka menjadi antara dokumen utama diterima pakai pada sidang kemuncak berkenaan.

“Penerimaan Deklarasi Kuala Lumpur ini hasil daripada perbincangan dalam kalangan menteri-menteri yang bertanggungjawab ke atas penerangan pada Mei lalu di Bandar Seri Begawan.”

“Menerusi perbincangan itu, rata-rata menteri komunikasi dari rantau ASEAN telah bersetuju kita perlukan satu strategi bersama.”

Fahmi menekankan keperluan bersatu hati untuk mewujudkan perundangan yang seumpama atau serupa dan mengambil beberapa tindakan segera.

Beliau berkata meskipun negara-negara ASEAN berbeza dari segi saiz dan peranan, semua negara tetap terkesan apabila berdepan isu keselamatan dalam talian.

“Kita tahu ASEAN ada negara yang saiznya besar, ada yang saiznya sangat kecil, ada negara yang menjadi ibu pejabat rantau bagi syarikat-syarikat besar.”

“Dalam isu keselamatan dalam talian kita semua terkesan sekiranya berlaku masalah dalam media sosial seperti scam dan judi dalam talian.”

Fahmi menyatakan beberapa perkara akan diselaraskan antara menteri-menteri ASEAN yang menjaga portfolio penerangan untuk mendepani cabaran media sosial.

Mengenai persiapan menjelang sidang kemuncak berkenaan, beliau berkata tahap kesiapsiagaan persidangan kini mencapai antara 85 hingga 90 peratus.

Kesiapsiagaan itu dijangka mencapai 100 peratus menjelang hari pembukaan rasmi sidang kemuncak.

Persiapan termasuk memastikan segala keperluan teknikal melibatkan peningkatan jalur lebar dan pemasangan kemudahan 5G telah disiapkan.

Ini bagi memastikan para pengamal media menikmati capaian Internet yang pantas dan stabil sepanjang persidangan berlangsung.

Fahmi turut menzahirkan rasa gembira dengan kejayaan penganjuran ASEAN Friendship Concert 2025.

Beliau menyifatkan konsert tersebut sebagai simbol semangat persaudaraan dan perpaduan serantau menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

“Ia merupakan julung kalinya kita menyaksikan bukan hanya 10 negara ASEAN yang turut serta tapi kali ini ada negara ke-11 iaitu Timor-Leste.”

Timor-Leste akan secara rasminya menyertai ASEAN pada 26 Oktober ini.

Fahmi mengucapkan tahniah kepada Radio Televisyen Malaysia atas kejayaan menganjurkan konsert tersebut. – Bernama