the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 23, 2026
30.9 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Banjir di Sabah meningkat tengah hari ini, Pahang dan Johor menurun – NADMA

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah merekodkan peningkatan manakala di Pahang dan Johor mencatatkan penurunan, menjadikan jumlah terkini keseluruhan mangsa setakat 12 tengah hari adalah seramai 635 orang berbanding 663 orang pagi tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah itu meliputi 257 orang daripada 82 keluarga yang berlindung di empat PPS di Sabah, 130 orang daripada 45 keluarga di dua PPS di Pahang dan 248 orang daripada 60 keluarga di enam PPS di Johor.

Di Sabah, seramai 110 mangsa berlindung di tiga PPS di Beluran manakala 147 mangsa berlindung di sebuah PPS di Sandakan.

Di Pahang, semua 130 mangsa ditempatkan di dua PPS di Rompin.

Di Johor, seramai 23 mangsa berlindung di sebuah PPS di Batu Pahat, 38 mangsa di sebuah PPS di Kluang, 124 mangsa di dua PPS di Kota Tinggi dan 63 mangsa ditempatkan di dua PPS di Segamat.

Dalam pada itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor, Pahang, Perlis dan Terengganu berada pada paras bahaya tengah hari ini.

Di Johor, sungai terlibat ialah Sungai Endau di Kluang, Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Muar di Segamat manakala di Pahang Sungai Pahang di Pekan, Bera dan Maran serta Sungai Rompin di Rompin manakala di Perlis membabitkan Sungai Arau dan di Terengganu membabitkan Sungai Terengganu Kuala Terengganu.

Sementara itu, NADMA memaklumkan terdapat 43 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu, Jalan Kota Tinggi–Kluang di Kota Tinggi, Johor, di Pahang membabitkan Lebuhraya Kuantan-Segamat (Lebuhraya Tun Razak). – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings