KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Johor menurun pagi ini berbanding malam tadi manakala sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sarawak, selain situasi di Perak tidak berubah.

Di Johor bilangan mangsa banjir menurun kepada 3,776 orang setakat 11 pagi ini, berbanding 3,869 orang yang direkodkan malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa daripada 1,066 keluarga itu ditempatkan di 37 PPS yang beroperasi di lima daerah terjejas.

“Daerah Kota Tinggi mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dipindahkan ke PPS dengan 1,322 orang, diikuti Johor Bahru (780 orang), Kulai (546 orang), Pontian (595 orang) dan Kluang (533 orang),“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata empat sungai dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu stesen Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dengan bacaan 15.40 meter (m), Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai, Pontian (3.14 m), Sungai Skudai di Kampung Laut, Johor Bahru (3.50 m) dan Sungai Punggai di Punggai, Kota Tinggi (1.59 m).

Selain itu, Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) di Kota Tinggi masih ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan susulan dinaiki air, sementara Jalan Tanjung Sedili di daerah sama hanya dibuka satu lorong.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan memaklumkan hujan berterusan dijangka melanda enam daerah di Johor sepanjang hari ini iaitu Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru

Di Sarawak, Sekretariat JPBN memaklumkan PPS di Dewan Serbaguna Nanga Ngungun di Kanowit dibuka pada 11.30 malam tadi bagi menempatkan 18 mangsa daripada empat keluarga dari Rumah Suzy Lily di daerah tengah negeri itu.

Sementara itu di Sibu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggunakan sebuah lori tiga bagi menghantar tujuh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kwong Hua ke sekolah untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ekoran jalan dari kawasan kediaman pelajar berkenaan dinaiki air

Mereka diiringi dua guru dan tiga pengawas peperiksaaan.

Sementara itu di Perak, jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir kekal 31 orang melibatkan sembilan keluarga di daerah Manjung setakat 8 pagi ini, dengan Sekretariat JPBN memaklumkan semua mereka masih ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai.