GEORGE TOWN: Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus menjadi sokongan penting bagi golongan yang bergelut dengan kos sara hidup, terutamanya mereka tanpa pendapatan tetap.
Bagi B Letchumanan, 60, bantuan ini walaupun kecil nilainya, sangat bermakna untuk menampung perbelanjaan harian. “Isteri dan ayah saya menerima SARA. Ini membantu kami menguruskan kos hidup, terutamanya kerana saya sudah tidak bekerja,“ katanya ketika ditemui di Program SARA Kementerian Kewangan.
Nur Aziah Bahari, 65, turut bersyukur dengan bantuan RM100 yang diterimanya. “Wang ini digunakan untuk membeli makanan. Ia sangat membantu kerana saya menjaga anak kurang upaya dan suami yang tidak sihat,“ ujarnya.
Yong Kok Choy, 75, mengakui bantuan ini membuktikan keprihatinan kerajaan. “Ini satu inisiatif baik yang perlu diperluas agar lebih ramai mendapat manfaat,“ katanya.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata kerajaan memperuntukkan RM13 bilion untuk program STR dan SARA tahun ini, menjadikannya peruntukan bantuan tunai tertinggi.
Di Pulau Pinang, seramai 293,000 orang menerima bantuan SARA daripada 5.4 juta penerima di seluruh negara. Bantuan ini dikreditkan terus ke MyKad penerima, memudahkan urusan tanpa prosedur rumit.
Mulai 1 April lalu, nilai bantuan dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 sebulan, memberi impak lebih besar kepada penerima.