JERTIH: Pelbagai cara dilakukan oleh penduduk di 11 kampung di Mukim Keluang dekat Kampung Raja di sini untuk mendapatkan air bersih ekoran gangguan bekalan air yang dihadapi bermula Khamis lepas dan dijangka berlarutan hingga 21 Jan ini.
Selain mendapatkan bekalan air yang disediakan oleh pihak Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kota Putera serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penduduk di Taman Mawaddah di Kampung Limbongan dekat sini mengambil langkah menggunakan semula perigi terbiar yang tidak digunakan sejak 25 tahun lepas.
Penjawat awam, Zulkifli Mohammad, 53, berkata dia terpaksa menggunakan semula perigi usang yang terletak di penjuru pagar belakang rumahnya bagi memudahkannya sekeluarga mendapatkan bekalan air untuk kegunaan harian.
“Selama ini, perigi yang bertutup itu sudah berpuluh tahun tidak digunakan kerana saya dan penduduk di kawasan ini tidak pernah berdepan masalah terputus bekalan air untuk tempoh yang panjang seperti sekarang.
“Bekalan air di rumah saya ini tidak ada sejak Khamis lagi. Pada peringkat awal, saya ambil air di dalam tangki statik yang disediakan pihak SATU yang kebetulan diletakkan berdekatan rumah saya, namun tidak cukup kerana penduduk di sini ramai. Jadi, saya mengeluarkan belanja RM700 untuk membeli sebuah tangki 600 liter dan satu unit enjin pam air untuk sedut air dari perigi itu,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya.
Zulkifli berkata perigi sedalam kira-kira 1.5 meter itu dibersihkannya pada Isnin dan telah digunakannya bersama isteri dan dua anak berusia tujuh dan 21 tahun, semalam.
“Saya yakin air perigi itu selamat digunakan kerana airnya tidak berbau dan warna jernih, cuma saya perlu bersihkan sisa kayu kecil yang berada di permukaan air terlebih dahulu.
“Mahu tidak mahu kami sekeluarga akan guna air perigi ini setiap hari sehingga bekalan air pulih yang dijangka pada 21 Januari ini,” katanya.
Zulkifli berkata selain dirinya, ada beberapa penduduk di taman perumahan yang sama turut menggunakan kembali perigi terbiar di halaman rumah masing-masing, malah yang lebih berkemampuan mereka mengupah pihak tertentu untuk membina telaga tiub di kediaman.
Sementara itu, pesara kerajaan Tarmizi Ahmad, 62, berkata dia terpaksa membeli beberapa baldi dan botol air untuk mengisi air dari tangki statik yang disediakan oleh pihak SATU.
“Saya datang ambil air dengan kereta Perodua Viva sekurang-kurangnya dua kali sehari dari rumah saya ke tangki statik di Taman Mawaddah ini sejauh kira-kira satu kilometer.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menyediakan kemudahan air ini tetapi kalau boleh tambah sedikit lagi bilangan tangki di lokasi-lokasi tertentu,” katanya.
Pada Isnin, SATU dalam kenyataan memaklumkan gangguan bekalan air melibatkan Tangki Air Bukit Keluang di daerah ini berpunca daripada kebocoran paip di dasar Sungai Besut berhampiran Jambatan Kampung Lampu.
Kebocoran paip bersaiz 600 mm itu mengakibatkan pengguna daripada 2,670 akaun dijangka menghadapi gangguan bekalan air bermula 1 hingga 21 Jan ini sementara kerja baik pulih dijalankan oleh kontraktor yang dilantik.
SATU juga memaklumkan setakat ini, sebanyak enam lori tangki air dan 49 tangki statik ditempatkan di kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.–Bernama