PUTRAJAYA: Bekas Menteri Besar Pahang Tan Sri Adnan Yaakob gagal mengetepikan penghakiman terus yang memerintahkan beliau membayar penalti RM84,000 kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) kerana melanggar peruntukan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azimah Omar memutuskan bahawa Adnan sepatutnya memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar penalti tersebut.
“Atas alasan itu sahaja, rayuannya boleh ditolak,“ kata beliau.
Selain itu, Adnan gagal membangkitkan isu yang boleh dibicarakan susulan pengakuannya yang jelas dalam surat kepada SC.
Panel itu, yang juga terdiri daripada Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim, mengarahkan Adnan membayar RM10,000 sebagai kos perundangan.
Adnan, yang juga Menteri Besar Pahang dari 1999 hingga 2018, adalah Ahli Lembaga Pengarah Pasdec Holdings Bhd (PASDEC).
Pemegang saham terbesar syarikat itu ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
Pada 16 Mei 2018, PASDEC mengeluarkan prospektus ringkas yang tidak mengandungi maklumat penting dan gagal mendedahkan permohonan PKNP untuk kelulusan melanggan haknya pada harga terbitan RM0.35 bagi setiap saham.
Sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Adnan, 75, secara individu dan kolektif bertanggungjawab atas kegagalan itu.
Pada 22 Julai 2020, SC mengeluarkan notis kepada Adnan yang menyatakan beliau melanggar Akta Pasaran Modal dan dikenakan penalti RM84,000.
Tiada bayaran dibuat, menyebabkan SC memulakan tindakan saman sivil di Mahkamah Majistret Kuantan.
Pada 25 Ogos 2022, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan SC untuk penghakiman terus terhadap Adnan.
Rayuannya ditolak Mahkamah Tinggi pada 16 Feb 2023.
Adnan, yang mewakili diri sendiri, berhujah beliau tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan kerana peranannya sebagai Pengerusi PASDEC adalah lantikan kerajaan negeri.
Peguam Lambert Rasa-Ratnam, yang mewakili SC, menegaskan Adnan sepatutnya memfailkan semakan kehakiman tetapi tidak berbuat demikian. – Bernama