SINGAPURA: Bekas Menteri Kanan dan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean akan menjadi pengerusi kelima Temasek Holdings berkuat kuasa 9 Okt, menurut syarikat pelaburan milik negara itu pada Jumaat.
Temasek memaklumkan bahawa beliau akan menggantikan Lim Boon Heng, yang akan berundur daripada Lembaga Pengarah Temasek selepas memegang jawatan itu selama 12 tahun.
Teo akan menyertai Lembaga Pengarah Temasek sebagai Timbalan Pengerusi mulai 1 Julai.
Menurut syarikat itu, Teo, seorang tokoh politik berpengaruh, telah memajukan kepentingan Singapura, termasuk dalam bidang penting seperti geopolitik, keselamatan siber dan teknologi, tindakan iklim serta pertahanan dan keselamatan.
“Dalam dunia yang pesat berubah, pengalaman luas dan pandangan strategiknya akan membawa perspektif berharga kepada Temasek dalam usaha syarikat itu untuk terus berkembang sebagai syarikat pelaburan global,“ menurut Temasek dalam satu kenyataan.
Teo, anggota teras dalam kepimpinan politik generasi ketiga Singapura, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri dari 2009 hingga 2019 dan sebagai Menteri Kanan dari 2019 hingga beliau berundur daripada politik pada Mei 2025.
Teo berkata beliau berharap dapat bekerjasama dengan syarikat itu bagi membina pencapaian Temasek serta merangka laluan demi kejayaan berterusannya dalam persekitaran global yang baharu.
“Sebagai institusi utama Singapura dengan jejak pelaburan global, Temasek memahami bahawa kejayaan jangka panjangnya memerlukan pendekatan terhadap risiko dan peluang semasa, serta keupayaan menjangkakan aliran masa depan,“ katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Temasek memaklumkan bahawa di bawah kepimpinan Lim, nilai portfolio bersihnya meningkat daripada S$223 bilion pada Mac 2014 kepada S$389 bilion pada Mac 2024.
Syarikat itu juga telah mengembangkan kehadirannya di Eropah dan Amerika Syarikat, yang kini menempatkan enam daripada 13 pejabat antarabangsa miliknya.
Lim berkata beliau gembira kerana Teo akan memimpin Temasek dalam fasa pertumbuhan seterusnya sebagai pelabur global.
“Pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan awam digabungkan dengan kebijaksanaan terhadap hal ehwal tempatan dan global, menjadikannya nakhoda yang tepat untuk Temasek dalam mengharungi cabaran masa depan, sambil terus berpegang kepada matlamat kami untuk memastikan kemakmuran setiap generasi,“ katanya.