SHAH ALAM: Kerajaan Selangor telah mengenal pasti jajaran utama sepanjang 211 kilometer (km) bermula dari kawasan Sabak Bernam hingga ke Negeri Sembilan bagi pelaksanaan projek Rel Kita Selangor.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata jajaran itu dikenal pasti melalui kajian kebolehlaksanaan yang sedang dijalankan dan dijangka selesai pada Januari tahun hadapan.

“Melalui kajian yang sedang dilaksanakan ini, kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan jajaran yang terlibat, yakni jajaran utama dari Sabak Bernam merentasi Sepang hingga ke Negeri Sembilan sepanjang 211 km.

“Ia juga turut disokong oleh beberapa ‘spur line’ (cabang) iaitu ke Westport, Klang, Putra Height dan Universiti Selangor (UNISEL) Bestari Jaya,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata pembinaan jajaran Rel Kita Selangor kelak dijangka akan dapat memberi impak positif yang ketara dari aspek fizikal dan sosioekonomi di negeri itu.

“Dari aspek ekonomi, projek ini dijangka akan dapat merangsang pertumbuhan ekonomi di sepanjang koridor jajaran serta memberi manfaat kepada Selangor dalam jangka masa panjang dan pendek,” katanya.

Bertemakan ‘Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia MADANI’, Belanjawan Selangor 2025 memperuntukan sebanyak RM3 bilion bagi melaksanakan perbelanjaan mengurus dan meneruskan pembangunan negeri untuk tahun hadapan.