GEORGE TOWN: Seorang doktor hospital mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan mencabul dan mengaibkan kehormatan dua wanita warga asing di Mahkamah Majistret di sini.
Dr Goon Hoong Tatt yang berusia 43 tahun menjawab tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi dan Muhammad Amzar Ismail.
Di hadapan Mahkamah Majistret Nur Fadrina, tertuduh menghadapi dua pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang wanita warga asing dengan mengarahkannya membuka pakaian serta menyuruhnya berdiri dan berlari setempat.
Pertuduhan tersebut dibawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Dia juga berdepan pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita sama dengan niat mencabul kehormatannya.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Ketiga-tiga perbuatan itu didakwa berlaku di bilik pemeriksaan klinikal Jabatan Forensik hospital berkenaan antara jam 9.15 malam hingga 9.30 malam pada 20 Februari lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Lau Shavin menawarkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh.
Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM3,500 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Di hadapan Mahkamah Majistret Muhammad Amzar, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan seorang lagi wanita warga asing dengan menyuruh wanita itu berlari setempat dalam keadaan bogel.
Perbuatan itu didakwa berlaku di tempat sama pada jam 9.30 malam 26 Februari 2025 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Farihin Ahmad dan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.
Syarat tambahan termasuk dilarang menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai juga dikenakan.
Kesemua kes akan disebut semula pada 27 November ini. – Bernama