MINA: Arab Saudi buat kali pertama menggunakan dron bagi menghantar ubat-ubatan dan bekalan perubatan ke hospital serta pusat kesihatan di tanah suci, sebagai sebahagian daripada projek perintis sempena musim Haji tahun ini.

Operasi yang dikendalikan oleh Kluster Kesihatan Makkah bersama National Unified Procurement Company (NUPCO) menjadi langkah penting untuk mempercepatkan dan meningkatkan kecekapan logistik penjagaan kesihatan para jemaah, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Antara penghantaran utama ialah pek ais ke Hospital Kecemasan Mina bagi merawat keletihan dan strok haba.

Inisiatif itu merangkumi beberapa fasa, termasuk penyediaan barangan, pembungkusan mengikut piawaian Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-ubatan Saudi (SFDA) dan pemantauan masa nyata menerusi papan pemuka pusat bagi memastikan penghantaran yang tepat dan selamat.

Sistem ini bertujuan mengurangkan masa respons dan menyokong operasi perubatan kecemasan, terutamanya semasa kesesakan di tanah suci.

Penggunaan dron adalah sebahagian daripada usaha memodenkan perkhidmatan kesihatan di bawah Wawasan Saudi 2030, menzahirkan komitmen kerajaan untuk menyediakan rawatan yang selamat dan cekap kepada para jemaah sepanjang musim Haji.