BINTULU: Dua individu cedera dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan sembilan rumah di Jalan Tatau-Sangan, Bintulu, lewat malam tadi. Mangsa dikenal pasti sebagai Lim Choong Xian, 26, dan Angela Shukin Ugak, 27, yang mengalami kelecuran pada bahagian tangan dan belakang badan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada pukul 12.56 tengah malam. Operasi pemadaman diketuai oleh Komander Operasi, PBT II Heiruddin Ealhi, dengan bantuan 11 anggota bomba menggunakan tiga kenderaan termasuk Light Fire Rescue Tender (LFRT).
Kebakaran turut memusnahkan tiga motosikal dan 10 kenderaan berhampiran. Operasi pemadaman berakhir sepenuhnya pada pukul 8.20 pagi. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.