KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran serbuk dadah jenis MDMA (Methylenedioxymethamphetamine) dianggarkan bernilai RM33.65 juta, Ahad lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin berkata suspek berusia 32 dan 33 tahun itu ditahan dalam serbuan pukul 3.50 petang di sebuah kondominium mewah di Sentul di sini, dengan mereka dipercayai berperanan sebagai pembungkus dan penghantar dadah berkenaan kepada pelanggan.
“Pemeriksaan di unit kondominium itu menemukan 13 balang mengandungi serbuk berwarna ungu dipercayai jus dadah jenis MDMA serta 499 pek plastik hijau berisi serbuk jus MDMA yang dianggar seberat 213.4 kilogram.
“Dadah terlibat dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang terutamanya di pusat hiburan yang dijual pada harga antara RM300 hingga RM600 setiap paket dengan jumlah keseluruhan dadah dirampas boleh digunakan 700,000 orang,“ katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Khaw berkata siasatan mendapati kondo itu disewa pada kadar RM2,000 sebulan untuk menyimpan dadah, manakala dua suspek terlibat dibayar RM3,000 seorang untuk melakukan kerja berkaitan dadah tersebut.
Siasatan awal juga mendapati dua suspek itu masing-masing mempunyai 10 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah serta jenayah dan mereka kini direman tujuh hari sehingga 2 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Khaw berkata pihaknya percaya sindiket pengedaran dadah itu aktif beroperasi sejak awal Januari tahun ini.
“Kita sedang giat menyiasat dalang yang memproses serbuk MDMA itu selain sedang meneliti dari mana sumber bekalan dadah tersebut diperolehi dan dibawa masuk ke dalam negara,“ katanya.