• 2025-08-21 03:10 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan dua kes kematian akibat COVID-19 setakat Minggu Epidemiologi ke-33 (ME-33) tahun ini, berbanding 58 kes kematian dilaporkan sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni menyatakan sebanyak 41,814 kes COVID-19 dilaporkan di seluruh negara hingga 16 Ogos lepas berbanding 83,018 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

“Selari dengan situasi global, terdapat peningkatan kes di negara ini bermula 6 April 2025,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjelaskan peningkatan kes dikaitkan perubahan subvarian dengan kebanyakan kes bergejala ringan dan vaksin sedia ada masih mampu memberikan perlindungan terhadap subvarian ini.

“Tahap ancaman varian COVID-19 terkini terhadap golongan berisiko adalah rendah dan terkawal kerana Malaysia kini berada dalam fasa hidup bersama COVID-19,” tambahnya.

Lukanisman menekankan komplikasi masih boleh berlaku dalam kalangan golongan berisiko seperti warga emas dan individu dengan komorbiditi.

“KKM sentiasa memantau situasi semasa COVID-19 di dalam dan luar negara, termasuk pelaksanaan penjujukan genomik bagi mengesan kewujudan varian atau subvarian baharu,” jelas beliau.

Pemberian vaksin COVID-19 secara sukarela dan percuma diteruskan di fasiliti kesihatan terpilih dengan KKM terus menyalurkan maklumat dan syor terkini.

“Ini termasuk langkah-langkah pencegahan yang boleh diamal oleh masyarakat seperti pengambilan vaksin, terutamanya kepada golongan berisiko,” katanya.

Menjawab soalan tambahan mengenai status vaksinasi dua kes kematian, Lukanisman memaklumkan kedua-dua individu terbabit tidak menerima vaksin COVID-19 yang terkini.

Bagi soalan berkenaan kesan jangka panjang pengambilan vaksin, beliau berkata KKM telah mengambil beberapa tindakan dan semakan berkenaan dakwaan kesan pemberian vaksin COVID-19.

“Kerajaan sedang meneliti pelbagai kajian berkaitan kesan jangka panjang vaksin, termasuk data berkaitan kes-kes selepas jangkitan COVID-19,” ujarnya.

Beliau menegaskan vaksin COVID-19 yang digunakan semasa pandemik membantu mengurangkan kadar kematian dan memberikan perlindungan kepada rakyat ketika itu.

Sekiranya terdapat kemudaratan yang disebabkan COVID-19, KKM mempunyai senarai dalam Kertas Putih Kesihatan untuk memberikan pampasan sekiranya dakwaan berkenaan benar – Bernama