• 2025-08-06 02:20 PM

KAJANG: Dua pelajar lelaki berusia 13 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menampar rakan sekelasnya di sebuah pusat beli-belah, hujung bulan lepas. Kedua-dua pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di Kajang itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Mahkamah menetapkan 18 Sept bagi laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan terhadap kedua-dua remaja itu. Prosiding hari ini dijalankan secara tertutup kerana mereka adalah pesalah bawah umur dan hadir bersama ibu bapa masing-masing.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama berkelakuan kurang sopan dengan cara menampar mangsa yang juga berusia 13 tahun di tempat awam bagi tujuan mengganggu keamanan di sebuah pusat beli-belah dekat sini, pada 11 pagi, 30 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Ketika ditemui media selepas prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri berkata pihaknya mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh. Bagaimanapun, peguam Lee Tee Kiat yang mewakili kedua-dua pelajar itu berkata pihaknya merayu supaya mahkamah memberikan jaminan rendah dalam lingkungan RM500 seorang.

“Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin sebelum prosiding jatuh hukum dan pendengaran laporan akhlak pada 18 Sept ini,“ kata Lee.

Pada 2 Ogos, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan rakan sekelas mangsa yang tidak puas hati dengan cara berkomunikasi dan berinteraksi dengan mereka. Susulan kejadian itu, mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital berhampiran dan disahkan mengalami kecederaan ringan di muka. - Bernama