IPOH: Dua lelaki warga China maut manakala seorang pemandu tempatan cedera dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, dekat Kilometer 316.9 malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah Supt Johari Yahya, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 10.30 malam. Mangsa yang maut dikenali sebagai Chong Hong dan Yucheng Pan, kedua-duanya berusia 41 tahun, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Pemandu kereta Toyota Vios, Lau Yong Kheng, 56 tahun, mengalami kecederaan di leher, kaki, dan tangan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta mangsa dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, yang berada di lorong kanan, cuba mengelak sebuah lori yang menukar laluan di hadapan sebelum hilang kawalan,“ kata Johari dalam kenyataan.
Beliau menambah bahawa usaha sedang dilakukan untuk mengesan pemandu lori terbabit dan mendapatkan rakaman kamera papan pemuka bagi membantu siasatan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, manakala siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.53 malam.
“Tiga mangsa tersepit dalam kenderaan terlibat. Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah menggunakan peralatan penyelamatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada polis dan pasukan perubatan KKM,“ jelasnya. - Bernama