KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan empat individu yang sebelum ini ditahan di Thailand atas kesalahan berkaitan dadah telah pulang ke tanah air.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan menyatakan mereka tiba di Malaysia petang tadi.
Mereka ialah Mohd Affendi Ahmad, 35 tahun; Eridieka Mohd Noor, 33 tahun; Mohamad Alif Deraman, 33 tahun; dan Zuhaira Nasrin, 26 tahun.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata mereka dibenarkan pulang selepas memberi keterangan selama enam jam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.
“Ujian saringan air kencing ke atas mereka menunjukkan keputusan negatif dadah,“ jelasnya.
Semalam, penyanyi dikir barat Eda Ezrin dan seorang lagi individu turut dibebaskan dan pulang ke Malaysia.
Mahkamah Penjara Narathiwat membebaskan mereka kerana pihak pendakwaan gagal mengemukakan saksi dan bukti untuk rayuan.
Mereka sebelum ini ditahan atas dakwaan memiliki 6,059 pil Yaba pada 1 November lalu. - Bernama